Nissan Frontier jatuh gaung, empat beranak nyaris maut

Empat beranak nyaris maut apabila kenderaan mereka jatuh gaung berhampiran Rumah Impit Ajong, Jalan Ulu Padeh di sini. - dayakdaily.com

BETONG: Empat beranak yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke Bintulu selepas cuti Hari Gawai nyaris maut selepas Nissan Frontier yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung berhampiran Rumah Impit Ajong, Jalan Ulu Padeh di sini hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 8.35 pagi itu, keempat-empat mangsa yang terselamat dikenal pasti sebagai Everltyn Ngaji, Ngabong Menuing, Moses Mervin Ngabong dan Gawing Insan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, sepasukan enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.38 pagi.

Menurutnya, jarak tempat kejadian dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong adalah sejauh 22 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira 22 minit kemudian, pasukan bomba mendapati sebuah Nissan Frontier dalam keadaan terbalik di dalam gaung tersebut.

“Pasukan bomba yang diketuai PBK I Henry Jugah kemudian segera bertindak mengeluarkan seorang mangsa yang masih lagi tersepit.

“Tiga mangsa yang lain pula berjaya keluar dari kenderaan berkenaan sebelum anggota bomba tiba,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, sejurus berjaya mengeluarkan mangsa, empat sekeluarga itu kemudian dihantar ke Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 9.50 pagi.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian kenderaan yang dipandu Ngabong itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Betong menuju ke arah Sibu.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati tiada kenderaan lain yang terlibat dan cuaca dilaporkan dalam keadaan baik,” katanya. – dayakdaily.com