Nasib malang keluarga mangsa rabies dapat perhatian Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mazlan di Kuching hari ini - dayakdaily.com

KUCHING – Nasib malang yang dihadapi sepasang suami isteri dari Kampung Paon Rimu, Serian yang kematian dua anak mereka secara serentak akibat dijangkiti virus rabies baru-baru ini telah mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri meluangkan masa kira-kira 30 minit berjumpa dan bertanya khabar kepada ibu bapa dua beradik tersebut, Mazlan Pujan, 36, dan Elisa John, 37 di Hangar Hornbill Skyways di sini.

Beliau kemudian menyampaikan sumbangan sebanyak RM60,000 daripada kerajaan Persekutuan kepada pasangan suami isteri tersebut.

Difahamkan sumbangan itu adalah untuk meringankan beban ahli keluarga selain bagi menampung kos tambahan pembinaan rumah baru pasangan suami isteri tersebut serta empat anaknya lagi.

Bercakap ketika ditemui selepas menerima sumbangan itu, Mazlan yang masih bersedih dengan kehilangan dua anaknya melahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana prihatin dengan tragedi yang menimpa keluarganya.

“Saya dan isteri sangat terharu dengan keprihatinan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) dan kerajaan Persekutuan yang mengambil berat kesusahan serta dugaan yang kami hadapi sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Elisa memberitahu, buat masa ini dia masih berada dalam keadaan trauma dan terkejut selepas kehilangan dua orang anak serentak.

“Namun, kami tetap bersabar dan tabah dalam meneruskan kehidupan seharian seperti biasa meskipun tanpa kehadiran dua anak yang telah pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan dua beradik berkenaan iaitu Monica Mazlan, 6, dan adiknya Jackson Mazlan , 4, disahkan positif dijangkiti virus rabies selepas digigit anjing.

Kedua-dua mereka kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini sebelum keadaan mereka semakin kritikal dan disahkan meninggal dunia akibat mati otak pada 4 Julai lalu. – dayakdaily.com