Naluri kuat seorang guru, jumpa rakan mati di dapur kuarters

SERIAN – Naluri kuat seorang guru merasakan ada perkara tidak diingini berlaku pada rakan sekerjanya selepas dia tidak turun bertugas ternyata benar apabila menemui sahabatnya itu dalam keadaan kaku di bahagian dapur sebuah kuarters guru di Sungai Krangan di sini hari ini.

Guru lelaki malang itu, Francis Gabriel Raeng, 47, ditemui mati oleh seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Krangan pada pukul 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, sebelum mangsa ditemui, seorang rakan guru di sekolah tersebut berasa pelik disebabkan mendiang belum turun bertugas.

Menurutnya, mangsa yang masih bujang dan mula mengajar di sekolah itu sejak 2014 dikatakan tidak pernah lewat turun mengajar sebelum ini.

“Curiga dengan situasi itu, guru terbabit kemudian pergi ke kuarters rakannya untuk melihat keadaan mangsa sebelum memanggil namanya berulang kali.

“Selepas mangsa tidak memberi sebarang respons, guru tersebut kemudian bertindak membuka pintu belakang kuarters itu sebelum terkejut melihat rakannya sudah tidak bernyawa dan dalam keadaan terbaring,” katanya.

Mengulas lanjut, Aswandy memberitahu, panik melihat situasi itu, guru terbabit kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal seorang diri di kuarters guru terbabit.

“Siasatan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.

“Mayat guru tersebut sudah dibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – dayakdaily.com