Motosikal rempuh lori ragut nyawa lelaki warga asing

Motosikal rempuh lori di Batu 36 Jalan Bintulu-Miri.

BINTULU: Seorang lelaki warga asing terbunuh selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di Batu 36 Jalan Bintulu-Miri sekitar jam 2 petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Bacha Rahman berasal dari Pakistan semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan dari arah Bandar Bintulu apabila gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Kemalangan berlaku apabila setiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu memasuki laluan bertentangan dan kemudian bertembung dengan sebuah lori kargo.

“Penunggang (mangsa) motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” kata sumber.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak DSP Bingkok John mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.


Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.