Motosikal bertembung lori, wanita hamil enam bulan maut

BAU: Rutin harian seorang wanita turun kerja dengan menunggang motosikal berakhir tragedi apabila dia menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13.7, Jalan Bau-Kuching hari ini.

Lebih sadis, mangsa, Nancy Epan, 38, sedang hamil enam bulan dan difahamkan bekerja di sebuah pasar raya di Bandar Baru Batu Kawa di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa bersama bayi dalam kandungannya disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Menurutnya, sebelum kejadian, wanita Bidayuh yang menunggang motosikal jenis Modenas itu dikatakan dalam perjalanan turun kerja dari Kampung Seropak ke arah Batu Kawa di sini.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa difahamkan cuba memotong sebuah lori treler di laluan sama.

“Namun, dia gagal memotong treler itu kerana terdapat sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah bertentangan lalu melanggar tayar belakang sebelah kanan treler tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badannya.

Katanya, wanita malang itu sudah tidak bernyawa lagi ketika pasukan paramedik tiba di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-dayakdaily.com