Misteri kehilangan nelayan terjawab, mangsa ditemui selamat di tebing sungai

Ismail (kiri) dibawa pulang oleh anggota bomba ke Pengkalan Batang Lassa, Daro. -JBPNS

DARO : Misteri kehilangan seorang nelayan yang tidak pulang ke rumah selepas keluar menangkap ikan di Batang Lassa, Daro di sini sejak dua hari lalu terjawab selepas lelaki tersebut ditemui selamat semalam.

Mangsa, Ismail Jem, 55, ditemui oleh penduduk Kampung Pasin masih berada dalam botnya dan dalam keadaan lemah di tebing Sungai Pasin berhampiran kampung tersebut pada pukul 8.52 pagi.

Difahamkan, mangsa gagal pulang ke rumahnya di Kampung Badong selepas turun menangkap ikan disebabkan enjin botnya kehabisan minyak.

Mangsa juga dikatakan hilang arah selepas botnya dihanyutkan oleh air pasang ke arah Sibu dan bukannya ke Daro.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, ketika ditemui nelayan tersebut dikatakan kelihatan sangat lemah ekoran tidak makan dan minum lebih daripada 48 jam.

Menurutnya, penduduk kampung yang menemui mangsa kemudian menghubungi pasukan bomba untuk tindakan selanjutnya.

“Sepasukan anggota bomba kemudian dikerahkan ke lokasi dengan menggunakan sebuah bot dan perjalanan dari Pengkalan Batang Lassa ke Kampung Pasin mengambil masa kira-kira sejam.

“Sebaik tiba di jeti Kampung Pasin, mangsa telah diberi makan dan minuman oleh penduduk kampung sebelum dia dibawa balik ke Kampung Badong oleh anggota bomba,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, sebelum dibenarkan balik ke rumahnya mangsa telah diberi rawatan oleh pasukan perubatan dari Hospital Daro di sini.

“Gerakan mencari dan menyelamat tamat sepenuhnya sebaik mangsa dibenarkan pulang ke kediamannya pada pukul 11.56 pagi,” katanya. – dayakdaily.com