MDSA tangkap anjing liar, langkah elak penularan anjing gila

Setiausaha MDSA, Nelson Mujah Girie - dayakdaily.com

SRI AMAN: Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) melancarkan operasi menangkap anjing liar di kawasan pentadbirannya sebagai langkah mengelak penularan wabak Rabies atau penyakit anjing gila di negeri ini.

Setiausaha MDSA, Nelson Mujah Girie berkata, setakat ini pihaknya telah menangkap 14 ekor anjing liar melalui operasi yang dijalankan di sekitar bandar itu.

“Bagaimanapun, ke semua anjing liar yang telah berjaya kita tangkap bebas daripada jangkitan penyakit Rabies.

“Ke semua anjing liar ini akan dihantar ke pusat jagaan haiwan di Serian sementara menunggu ia dituntut oleh pemiliknya,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Tamah Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Katanya, anjing liar yang didapati mempunyai simptom penyakit Rabues akan dihapuskan.

“Operasi yang kita jalankan turut mendapat kerjasama
pihak Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA), Pejabat Kesihatan dan Jabatan Veteriner,” katanya.

Sehubungan itu, Nelson mengingatkan penduduk yang memelihara anjing agar tidak membiarkan anjing mereka berkeliaran.

“Pemilik anjing hendaklah mengawal, mengurung atau memasang tanda khas kepada anjing peliharaan masing-masing,” katanya.

Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan pihak MDSA mengenal pasti anjing liar sepanjang operasi yang dijalankan. – dayakdaily.com