Mayat pengangkat barangan ditemui selepas seminggu hilang

Mayat, Pang Chee Song, 39, yang bekerja sebagai pengangkat barangan ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 1.16 petang. - JBPNS

KAPIT – Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika mengangkat barang di Terminal Bot Ekspres Kapit-Sibu sejak tujuh hari lalu akhirnya ditemui hari ini.

Mayat, Pang Chee Song, 39, yang bekerja sebagai pengangkat barangan ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 1.16 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mayat lelaki malang itu dijumpai dalam keadaan terapung kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke terminal bot ekspres untuk tindakan lanjut.

“Operasi SAR yang dilancarkan sejak selama seminggu lalu berdepan dengan kesukaran disebabkan arus sungai yang deras dan faktor cuaca tidak menentu.

“Namun, kita tidak berputus asa sehingga berjaya menemui mayat mangsa hari ini. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.47 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dia terjatuh ke dalam sungai berhampiran Terminal Bot Ekspres Kapit-Sibu di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.35 petang itu, mangsa dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di sungai tersebut.

Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika sedang mengangkat barang ke dalam bot salah seorang penumpang di situ.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tiba-tiba hilang imbangan badannya sebelum terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan oleh arus deras. – dayakdaily.com