Mayat mangsa dibaham buaya di Beladin ditemui

Mayat Sulaiman,25, warganegara Indonesia dijumpai terapung dengan kesan gigitan buaya pada bahagian kaki mangsa - JPAM

PUSA: Selepas enam hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan mayat mangsa di baham buaya di sungai Plasan, Beladin, Pusa, Betong, di sini, dijumpai hari ini.

Mayat Sulaiman,25, warganegara Indonesia dijumpai jam 11.30 pagi dengan kesan gigitan buaya pada bahagian kaki mangsa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, mangsa ditemui oleh orang awam yang sedang memancing.

“Mayat mangsa terapung di kawasan sekitar jarak 250 meter dari mangsa hilang,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Agensi lain yang turut terlibat dalam operasi SAR itu ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis termasuk seramai 20 orang pekerja ladang sawit,” katanya.

Katanya, operasi SAR sebelum ini menggunakan kaedah ‘Surface Water Searching’ sekitar tujuh kilometer ke hilir dan tujuh kilometer ke hulu sungai menggunakan dua buah bot penduduk kampung.

“Sebuah kenderaan ladang digunakan dengan pencarian di tebing sungai,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada 13 Julai lalu mangsa bersama seorang lagi rakannya menjalankan aktiviti memancing selepas selesai waktu bekerja di sebelah petang.

Ketika sedang memancing mangsa telah dibaham buaya. – dayakdaily.com