Mayat Lembong, warga emas yang hilang di laut Kampung Serpan ditemui pagi tadi

Mayat warga emas, Lembong Pin, dari Kampung Serpan, Asajaya yang hilang dilaut dijumpai pagi ini. - JBPNS

ASAJAYA: Selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan mayat warga emas, Lembong Pin,65, dari Kampung Serpan , di sini, yang hilang dilaut dijumpai pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa dijumpai pada jam 10.20 pagi oleh penduduk Kampung Serpan dalam jarak kira-kira Satu kilometer dari Kampung Sampun Tebun, kawasan pencarian baharu di kawasan hutan bakau.

“Mayat mangsa telah dikenalpasti oleh ahli keluarga dan dijumpai dalam jarak kira-kira 300 meter dari petunjuk ke dua iaitu topi yang dijumpai pada hari kelmarin,” katanya di sini hari ini.

Katanya, keadaan tubuh badan mayat mangsa masih dalam keadaan sempurna.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis pada jam 11:48 pagi.

“Dengan penemuan mayat operasi SAR Serpan telah ditutup,” katanya dan menambah operasi itu turut disertai pihak Polis, Rela serta penduduk kampung.

Dalam kejadian yang berlaku pada 16 Ogos lalu, Lembong turun ke laut seorang diri menggunakan bot miliknya pada kira-kira jam 1 petang.

Bagaimanapun, mangsa yang ke laut untuk menangkap ketam tidak pulang ke rumah sejak itu.

Ahli keluarga mangsa bersama penduduk kampung telah berusaha membuat pencarian namun gagal sebaliknya mereka hanya menemui bot berserta pakaian mangsa di pesisir pantai berhampiran. – dayakdaily.com