Maxxius harumkan nama Malaysia, raih dua pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Malaysia

LIMBANG – Bukan satu, tapi dua pingat emas yang berjaya dimenangi Maxxius Philip untuk mengharumkan nama Malaysia dalam Kejohanan Olahraga Antarabangsa MSSM- LAWA-SSSC ke-25 di Sukan Sekolah Malaysia, (SSM) Pahang, minggu lalu.

Maxxius, 14, yang mewakili Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) meraih kedua-dua pingat emas itu dalam acara 100 meter dan 200 meter lari berpagar dalam kejohanan tersebut.

Kejohanan berprestij berkenaan melibatkan para peserta dari melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Australia sebagai pasukan jemputan.

Maxxius yang berasal dari Kampung Batu Riaudi sini disambut sebagai wira negara oleh ahli keluarganya serta warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Patiambun Limbang di
Lapangan Terbang Limbang di sini semalam.

Pelajar tingkatan dua itu merupakan salah seorang enam atlet Sarawak yang dipilih mewakili Malaysia pada kejohanan yang berlangsung pada 8 hingga 9 Julai lalu.

Bercakap ketika ditemui, anak bongsu daripada empat beradik itu menyifatkan kemenangannya tidak dijangka memandangkan atlet lain turut hebat dan memberikan saingan sengit kepadanya.

Bagaimanapun ujarnya, dia tetap fokus dan yakin dengan kemampuan diri bagi memastikan kemenangan adalah milik Malaysia.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang tetapi untuk semua, apa yang penting usaha gigih saya selama ini berbaloi,” katanya. – dayakdaily.com