Masyarakat Melayu perlu bekerjasama dengan kaum lain

Abang Johari menerima pakaian serta keris Melayu daripada Awang Tengah - dayakdaily.com

KUCHING: Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS) mempunyai peranan yang cukup penting dalam mengekalkan khazanah, budaya, intelektual Melayu Sarawak untuk kesinambungan bangsa Melayu di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, untuk terus maju ke hadapan masyarakat Melayu harus bekerjasama dengan masyarakat yang lain.

“Kita mesti perkukuhkan kerjasama agar setiap apa yang dirancang dapat berjalan dengan lancar,” katanya di Majlis Samarindok Aidilfitri anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Johari berkata, bangsa Melayu berjaya kerana pendekatan bersatu yang telah menjadi amalan sejak dahulu lagi.

“Orang Melayu bersatu dalam satu suara dan senada serta berpaksikan ajaran Islam di mana semua umat Islam adalah bersaudara.

“Kegagalan kita bukan berpunca daripada orang lain tetapi diri sendiri dan kerana itu apa sahaja tugas yang diamanahkan hendaklah dilaksana dengan seadil-adilnya ,”katanya.

Menurutnya lagi, masyarakat Melayu juga perlu menguasai ilmu digital kerana teknologi adalah ‘color blind’ dan sesiapa yang boleh menguasai ilmu teknologi digital maka mereka akan maju ke hadapan.

“Kita turut menekankan kepentingan menguasai teknologi yang memainkan peranan besar dalam kemajuan sesebuah masyarakat terutamanya di kalangan orang Melayu,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut meluluskan sebidang tanah di Jalan Ong Tiang Swee untuk Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak dan peruntukan sebanyak RM 5 juta untuk mendirikan bangunan di tanah milik AKYBMS di Petra Jaya, Kuching.

Menyentuh Hikmah Exchange di Jalan Haji Taha, Abang Johari turut menegaskan bahawa bangunan tersebut yang bernilai RM 340 juta telah disewakan kepada Kerajaan Pusat melalui persetujuan bersama Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak. – dayakdaily.com