Masyarakat Dayak diminta terus berdiri teguh di belakang BN

Harden (empat kiri) menyampaikan alat pemadam api kepada salah seorang penduduk - dayakdaily.com

SRI AMAN: Masyarakat Dayak di negeri ini diminta terus berdiri teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional(BN) bagi memudahkan usaha membawa pembangunan dapat dilakukan secara berterusan.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, dalam membantu proses pembangunan sokongan rakyat amat diperlukan.

“Kita mesti sama-sama bersatu hati dengan berdiri di belakang kerajaan yang sedia ada pada hari ini agar impian untuk membawa pembangunan kepada rakyat dapat direalisasikan,” katanya ketika merasmikan Majlis Mantar Gawai Dayak yang berlangsung di Rumah Nanyi, Gran C, di sini anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Lingga.

Katanya, kerajaan dapat membawa pembangunan kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar dengan ada kestabilan politik dan rakyat dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Dalam pada itu, Harden turut mengingatkan generasi muda kaum Dayak supaya terus memelihara seni dan warisan masyarakat itu yang diwarisi dari turun-temurun.

“Kita bimbang jika tidak ada usaha mempertahankan kesenian dan warisan masyarakat Dayak akan lenyap begitu sahaja dengan era globalisasi pada hari ini,” katanya.

Pada majlis itu beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 untuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) Gran C dan RM3,000 untuk biro wanitanya disamping menyampaikan lima unit alat pemadam api untuk pihak terbabit. – dayakdaily.com