Masih awal isytihar Sarawak bebas rabies

Ahmad Shabery bersama Douglas Uggah melihat anjing peliharaan yang akan diberi suntikan vaksin anti-rabies di Dewan Suarah, Bau. - dayakdaily.com

KUCHING – Masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan atau pengisytiharan bahawa Sarawak sudah ‘bebas’ daripada penularan wabak rabies.

Demikian kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.selepas mengadakan lawatan ke pusat operasi pemvaksinan di Dewan Suarah Bau di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini keadaan penyakit anjing gila di Sarawak masih dalam keadaan terkawal, namun masih terdapat 22 kawasan yang masih digazetkan sebagai kawasan wabak rabies.

“Jika melihat situasi semasa adalah masih terlalu awal untuk buat sebarang keputusan atau pengisytiharan (Sarawak bebas rabies).

“Tetapi apa yang kita harapkan ialah tiada kawasan baru dijangkiti atau terjejas dengan wabak penyakit anjing gila itu,” katanya dalam sidang media di Dewan Suarah, Bau di sini hari ini.

Hadir sama ialah, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Ahmad Shabery menambah, beliau sudah berbincang dengan kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) untuk menghantar lebih banyak tenaga kerja untuk membantu menangani penularan wabak rabies di negeri ini.

Katanya, jumlah petugas JPVS mungkin ditambah jika ada keperluan mendesak terhadap pengawalan serta operasi pemvaksinan anti-rabies.

“Mungkin kita akan tambah 10 atau 20 orang lagi yang diperlukan supaya kita dapat wujudkan lebih banyak team supaya kita dapat bergerak ke seluruh kawasan berkaitan.

“Selebihnya jika diperlukan saya akan maklumkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara sekiranya ada keperluan untuk dapatkan bantuan daripada agensi lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang kerana bekalan vaksin adalah mencukupi oleh kerana sejumlah 47,000 vaksin dibekalkan sejak awal lagi di Sarawak selain 25,000 lagi melalui kerjasama antarabangsa.

“Kita juga telah tempah 50,000 lagi vaksin menerusi Pertubuhan Kesihatan Haiwan Bangkok,” katanya.

Sambil menambah, sejak penularan wabak rabies, sebanyak 23,000 vaksin sudah digunakan. – dayakdaily.com