Maritim Malaysia DM11 tahan dua bot nelayan Vietnam

KUCHING – Dua bot nelayan asing Vietnam telah ditahan oleh kapal Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim Kuching (DM11) di kedudukan kira-kira 185 batu nautika dari Tanjung Po dan dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS).

Bot-bot tersebut telah dikesan dan diperiksa pada 10 Ogos lalu lebih kurang jam 8.45 pagi.

Setelah diperiksa, didapati seramai 22 orang awak-awak beserta tekong dari Vietnam berusia lingkungan 16 hingga 45 tahun berada di atas kedua-dua vesel tersebut sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda ganding.

Dianggarkan juga terdapat kira-kira 10,000 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan terdapat di dalam bot tersebut. Kesemua mereka telah ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Jika didapati bersalah, bot beserta peralatan menangkap ikan boleh disita dan tekong serta awak-awak dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM 1 juta dan RM 100,000 setiap seorang atau penjara.

Tangkapan ini adalah hasil maklumat risikan yang telah disalurkan oleh komuniti maritim kepada Maritim Malaysia.

Sukacita diingatkan bahawa Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak 082-432544. – dayakdaily.com