Maritim Malaysia berkas 8 nelayan warga Vietnam ceroboh perairan Sarawak

KUCHING – Sebuah bot nelayan Vietnam telah ditahan oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuching (DM11) yang sedang dalam operasi khas di kedudukan kira-kira 100 batu nautika dari Tanjong Po pada Sabtu lalu.

Pengarah DM11, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, bot tersebut telah dikesan dan ditahan pada pukul 10 pagi.

Menurutnya, setelah diperiksa didapati seramai lapan nelayan serta tekong warga Vietnam berusia antara 16 hingga 45 tahun berada di atas bot tersebut sedang menangkap ikan dengan menggunakan kaedah rawai.

“Hasil pemeriksaan menemui kira-kira 3,000 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis terdapat di dalam bot tersebut.

“Kesemua mereka kini telah ditahan dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shahref memberitahu, tangkapan itu adalah hasil maklumat risikan yang telah disalurkan oleh komuniti maritim kepada Maritim Malaysia.

Katanya, jika didapati bersalah, bot beserta peralatan menangkap ikan boleh disita dan tekong serta awak-awak dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 setiap seorang atau penjara.

“Maritim Malaysia juga sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 082-432544,” katanya. -dayakdaily.com