Mangsa kelima wabak rabies di Sarawak meninggal dunia

Dog owners taking their pets at 7th Mile basketball court for rabies vaccination today. - dayakdaily.com

KUCHING – Jumlah kematian akibat wabak rabies di negeri ini meningkat kepada lima mangsa selepas seorang lelaki yang positif dijangkiti virus berbahaya itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini malam tadi.

Mangsa, Tinding Lambang, 52, yang berasal dari Kampung Remun, Serian dekat sini disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 malam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa sebelum ini dilaporkan mempunyai sejarah digigit anjing di kampung tersebut pada awal Mei tahun ini.

Bagaimanapun katanya, mangsa terbabit hanya dimasukkan ke HUS di sini untuk menerima rawatan selepas mengadu anggota badannya lemah, kebas dan sakit belakang serta mengalami kekeliruan pada 11 Julai lalu.

“Lelaki malang berkenaan kemudian disahkan positif dijangkiti virus rabies pada 18 Julai lalu selepas menjalani ujian makmal di HUS,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan empat mangsa yang positif dijangkiti virus rabies telah meninggal.

Mangsa-mangsa yang meninggal dunia ialah dua beradik iaitu Monica Mazlan, 6, dan adiknya Jackson , 4, dari Kampung Paon Sungai Rimu, , diikuti mangsa ketiga, Alicesa Lovenna, 7, dari Kampung Lebur, Gedong, Serian.

Mangsa keempat pula melibatkan seorang kanak-kanak perempuan, Florancesia Edward, 5, dari Kampung Ampungan, Serian.

Setakat ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengesahkan terdapat 20 kawasan di negeri ini telah diwartakan sebagai kawasan wabak rabies.

*Info kawasan wabak rabies*

*04.07.2017* (Serian)
1. Kg Krait
2. Kg Paon Rimu
3. Kg Paon Rimu Bakung
4. Kg Remun
5. Kg Lebor

*12.07.2017* (Serian)
6. Kg Saroban

*13.07.2017* (Serian)
7. Kg Tangga

*18.07.2017* (Serian)
8. Kg Ampungan
9. Kg Mentong Berawan
10. Kg Mentong Silaga
11. Kg Engkabang
12. Kg Tampek Sumpas
13. Kg Rasau
14. Pekan Soburan
15. Bandar Serian
16. Batu 45, Kuching-Sri Aman

(Tebedu)
17. Kg Temong Mura

(Sri Aman)
18. Rh. Janta Punggu Mawang

*23.07.2017 (Tebedu)
19. Kpg Entubuh

(Kuching)
20. Batu 5, Jalan Semeba

-dayakdaily.com