Makan katak untuk hidup, lelaki hilang tujuh hari ditemui

Warga emas Tan Rarong, 69, ditemui kira-kira 6 kilometer (km) dari pos kawalan bomba. - Ehsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Sarawak)

JULAU – Sambutan Hari Gawai Dayak yang bakal disambut kurang dari seminggu lagi pasti amat bermakna buat seorang lelaki warga emas apabila dia akhirnya ditemui selepas dilaporkan hilang di kawasan hutan Rumah Panjang Berenai, Batu 16 di sini hari ini.

Warga emas tersebut, Tan Rarong, 69, berjaya ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat serta penduduk kampung pada pukul 11.45 pagi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, lelaki Iban itu ditemui kira-kira 6 kilometer (km) dari pos kawalan bomba.

Menurutnya, semasa ditemui mangsa dikatakan hanya mampu duduk dan berada dalam keadaan lemah.

“Berdasarkan keterangan daripada warga emas itu, dia terpaksa makan katak dan daun sabung selain minum air sungai untuk meneruskan kehidupan.

“Operasi pencarian mangsa yang memasuki hari keempat itu agak sukar pada mulanya disebabkan tiada sebarang petunjuk di mana lokasi terakhir dia dikesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ling Hii menambah, selain 13 anggota bomba, lima anggota polis termasuk Unit K9 dan 13 penduduk kampung terlibat dalam operasi berkenaan.

Jelasnya, sejurus memberikan rawatan kepada warga emas itu, pasukan mencari dan menyelamat kemudian membawa mangsa ke pusat kawalan bomba untuk tindakan selanjutnya.

“Warga emas itu kemudian dibawa ke hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah panjang.

“Kita amat bersyukur lelaki itu terselamat dan dia pastinya menjadi insan yang paling gembira khususnya dapat meraikan sambutan Hari Gawai bersama keluarganya,” ujarnya lagi.