MA63 : Kerajaan Persekutuan ambil sikap terbuka dengan keputusan Sarawak hantar pasukan peguam ke London

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan nya ke Kuching. - dayakdaily.com

KUCHING – Kerajaan Persekutuan mengambil sikap terbuka dengan keputusan kerajaan negeri Sarawak yang menghantar pasukan peguam ke London untuk mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi rujukan mengenai hak negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah menjadi hak kerajaan Sarawak untuk melihat aspek-aspek perundangan dan juga persefahaman sosial sehingga termaktub perjanjian berkenaan sebelum ini.

“Kita di peringkat kerajaan Persekutuan bersikap terbuka dan berlapang dada untuk menerima semua maklum balas yang diterima oleh kerajaan negeri melalui usaha yang dilakukan.

“Tidak ada isu tidak boleh dirungkai dan diselesaikan, saya fikir pendirian kerajaan pusat sebagai mana dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa perkara-perkara boleh dirundingkan, maka kerajaan Persekutuan akan terus membuka pintu untuk mengadakan rundingan terutama apabila adanya maklumat diterima daripada beberapa dokumen diperoleh daripada penyelikan yang dibuat oleh pasukan petugas ini,” katanya semasa mengadakan kunjungan ke Rumah Terbuka Gawai Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Taman BDC di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dipetik sebagai berkata Sarawak menghantar pasukan peguam ke London bagi mengkaji Perjanjian Malaysia (MA63) sekali gus meneruskan usaha Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk mendapatkan hak Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian yang dibuat pada 1963.

Pasukan peguam itu katanya, akan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

“Memang, kita akan meneruskan usaha Tok Nan (mantan ketua menteri Adenan Satem) untuk mendapatkan hak kami seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia.

“Itulah sebabnya kami menghantar Sharifah Hasidah dan pasukan undang-undang ke London untuk mencari dan mendapatkan rujukan.

“Perjanjian ini bukan sekadar persetujuan, kami ingin mendapatkan fakta yang betul kerana jika kami mahu membuat tuntutan, kami mesti melakukan ‘homework’, jika tidak, kami hanya tembak sebarangan,” katanya.

Abang Johari berkata kerajaan negeri memerlukan pendekatan yang sesuai untuk membangunkan Sarawak seiring peredaran masa.

Beliau menyatakan keyakinan dengan sokongan Kabinet negeri dan rakyat, usaha membangunkan Sarawak akan membuahkan hasil yang boleh membanggakan semua pihak.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu pemimpin DAP berhenti membuat spekulasi mendakwa wujudnya rancangan untuk mengharamkan parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selagi belum ada keputusan rasmi tentang status Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Ketika ini, status CEC parti pembangkang itu sedang dalam kajian ROS untuk dinilai daripada aspek perundangan bagi menentukan sama ada ia mematuhi perlembagaan,” katanya. – dayakdaily.com