Lupakan perbezaan antara kaum, cari titik persamaan dan kekalkan keamanan dan keharmonian di Sarawak

Chief Minister Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini perlu menghargai keamanan dan keharmonian yang dinikmati pada masa kini kerana ia merupakan hasil perjuangan para pemimpin terdahulu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, dalam konteks perayaan Hari Gawai, masyarakat Dayak seharusnya melupakan perbezaan dan mencari persamaan untuk mengangkat identiti dan martabat kaum tersebut.

Menurut beliau, tidaklah menjadi kesalahan untuk berbeza pendapat, namun titik persamaan haruslah menjadi suatu yang perlu diusahakan pada setiap masa untuk kebaikan kesuluruhan masyarakat Dayak.

“Pemimpin-pemimpin kaum Dayak terdahulu mempunyai pandangan yang jauh pada 1963 iaitu ketika berusaha mendapatkan pengiktirafan bahawa perlu ada satu hari kelepasan umum untuk merayakan Gawai Dayak di Sarawak.

“Antara mereka yang giat memohon pengiktirafan ini ialah mendiang Datuk Tra Zehnder dan ayahanda saya sendiri, Allahyarham Tun Abang Haji Openg.

“Gawai Dayak yang diraikan pada kali pertama pada tahun 1965 adalah faktor penyatuan dan simbol identiti kaum Dayak,” katanya dalam perutusan Hari Gawai 2017.

Abang Johari menambah, kepelbagaian budaya, keturunan dan agama bukanlah penghalang untuk masyakarat majmuk di negeri ini menjadi sebuah masyarakat yang bersatu dan harmoni.

Katanya, rakyat di Bumi Kenyalang amat bertuah kerana agama dan keturunan tidak pernah mendatangkan isu kepada semangat perpaduan di negeri ini.

“Pada masa dahulu, masyarakat kita daripada pelbagai keturunan dan agama mempunyai tali persaudaraan yang begitu erat sekali.

“Kita dapat semangat itu menerusi amalan ziarah menziarahi, malah boleh duduk semeja di kedai-kedai kopi untuk berkongsi pendapat dan jalan cerita kehidupan sehari-harian,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, sambutan Hari Gawai bukan sahaja diraikan oleh kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, namun turut disambut oleh masyarakat pelbagai komuniti dan agama di Sarawak.

Jelas beliau, begitu juga sebaliknya semasa hari perayaan lain seperti Hari Raya dan Tahun Baru Cina, masyarakat Dayak juga tidak ketinggalan bersama memeriahkan sambutan berkenaan.

“Oleh itu, rakyat di negeri ini termasuk yang berada di Semenanjung Malaysia perlu mengekalkan perpaduan dan penyatuan yang telah terjalin selama ini.

“Kita amat bersyukur kerana masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan agama di bumi bertuah ini dapat meraikan perayaan mengikut agama dan tradisi masing-masing dalam suasana aman dan damai,” katanya.- dayakdaily.com