Limang, popular dikalangan masyarakat Bidayuh Bau

Limang menjadi hidangan popular di kalangan Bidayuh Bau khususnya ketika sambutan Hari Gawai Dayak - dayakdaily.com

BAU – Lazimnya lemang dikaitkan sebagai makanan popular orang Melayu terutama menjelang perayaan seperti Hari Raya atau dijadikan hidangan istimewa semasa majlis-majlis tertentu.

Bagaimanapun, lemang ataupun ‘limang’ dalam kalangan masyarakat Bidayuh juga menjadi hidangan popular kaum tersebut khususnya ketika sambutan Hari Gawai pada 1 Jun setiap tahun.

Seorang peniaga lemang, Beret Ajin, 52, berasal dari Kampung Grogo di sini berkata, lemang sudah menjadi hidangan wajib dalam kalangan masyarakat Bidayuh sejak dulu lagi.

Menurutnya, tanpa adanya lemang, maka hidangan di setiap rumah kaum Dayak semasa perayaan meraikan tamatnya musim menuai padi dan menandakan permulaan musim penanaman padi yang baharu tidak akan lengkap.

Sehubungan itu jelasnya, dia dan suaminya telah mengorak langkah untuk menjalankan perniagaan menjual lemang di sebuah gerai di hadapan rumah mereka sejak tahun 2006.

Menurutnya, gerai yang dinamakan Gerai Lemang Lison Orad itu telah dibina hasil ilham suaminya, Johem Nyapir, 52, selepas dia bersara sebagai seorang tentera.

“Saya akui, pada mulanya, kami berdua hanya ingin mencuba menjual lemang secara sambilan, namun tidak menyangka permintaan terhadap lemang kami meningkat dalam tempoh masa tingkat.

“Malah, kami sudah ada pelanggan tetap yang begitu menyukai lemang buatan hasil tangan kami.

“Oleh sebab itu, idea untuk membuka gerai menjual lemang secara tetap akhirnya menjadi realiti dan kami bermula dengan jualan pada Sabtu dan Ahad sahaja,” katanya ketika ditemui dayakdaily.com baru-baru ini.

Ibu kepada empat orang anak itu menambah, sebagai permulaan, mereka hanya menjual antara 50 hingga 60 batang lemang tidak termasuk tempahan daripada pelanggan.

Jelasnya, sebatang lemang dijual dengan harga antara RM5 hingga RM7 sebatang dan ia adalah berdasarkan saiz buluh yang digunakan.

“Lama-kelamaan permintaan terhadap lemang semakin meningkat daripada para penggemar setia lemang dan mengambil keputusan untuk menjualnya pada setiap hari.

“Sejak itu, Gerai Lemang Lison Orad dibuka setiap hari dan muncul sebagai pembekal lemang yang pertama di daerah ini khususnya dalam kalangan masyarakat Bidayuh,” ujarnya lagi.

Menceritakan mengenai ramuan yang digunakan untuk menghasilkan lemang, Beret memberitahu, mereka menggunakan 15 hingga 20 kilogram (kg) beras pulut setiap hari untuk jualan pada Isnin hingga Jumaat, manakala tambahan sebanyak 50 kg lagi pada hari Sabtu dan Ahad, tidak termasuk tempahan.

Jelasnya, mereka mampu mengisi kira-kira 200 batang buluh bagi 50 kg beras pulut untuk dibakar menjadi sajian yang enak serta menyelerakan.

“Bagi mempercepatkan proses penghasilan lemang, dia dan suaminya mengupah beberapa pekerja bagi membolehkan kerja-kerja membakar lemang dapat dilakukan dengan cepat.

“Tanpa ada bantuan daripada para pekerja, saya dan suami mungkin tidak menang tangan untuk membakar lemang sebelum ia dijual kepada para penggemar setia lemang,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat membuat tempahan lemang boleh hubungi 082- 765427 untuk maklumat lanjut. – dayakdaily.com