Lelaki tetak kepala adik kandung ditahan polis

Mangsa bernasib baik apabila ibu mereka menyedari kejadian tersebut sebelum bergelut dengan suspek untuk mempertahankan anak perempuannya. - PDRM

LAWAS – Seorang lelaki tergamak menetak kepala adik kandungnya dengan menggunakan sebilah parang sehingga mengakibatkan remaja perempuan itu cedera dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Batu 3 Jalan Trusan di sini semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa hanya cedera pada bahagian tepi kepalanya.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa bernasib baik apabila ibu mereka menyedari kejadian tersebut sebelum bergelut dengan suspek untuk mempertahankan anak perempuannya.

Menurut beliau, ibu mangsa kemudian menghubungi suaminya untuk memaklumkan insiden berkenaan sebelum dia membuat laporan polis di Balai Polis Lawas.

“Sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Lawas segera ke lokasi kejadian untuk menahan suspek.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek yang berusia 28 tahun itu kemudian ditahan polis, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh suspek menetak kepala adiknya.

Katanya, buat masa ini polis masih menyiasat motif lelaki berkenaan bertindak ganas tethadap adiknya.

“Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya,” ujarnya lagi. -dayakdaily.com