Lelaki putus tangan dan patah kaki selepas terlibat dalam kemalangan

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, mangsa, Ahmad Afzainizam Mathie, 30, dilaporkan mengalami kecederaan parah selain putus tangan kanan dan patah kaki kanannya. - APM

SIBU – Seorang lelaki putus tangan dan patah kaki selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bawang Assan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, mangsa, Ahmad Afzainizam Mathie, 30, dilaporkan mengalami kecederaan parah selain putus tangan kanan dan patah kaki kanannya.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sibu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.23 pagi.

Menurutnya, sejurus itu, empat anggota APM dikerahkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan tindakan selanjutnya.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota APM mendapati seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah, manakala tangan kanannya terputus selepas berlakunya perlanggaran itu.

“Pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mengulas lanjut, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Nangka dikatakan dalam perjalanan menuju ke arah pusat bandar Sibu.

Namun katanya, malang menimpa mangsa apabila motosikal yang ditunggangnya seorang diri tiba-tiba berlanggar dengan sebuah lori di laluan berhampiran Jambatan Lebaan di sini.

“Buat masa ini, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sibu,” katanya. – dayakdaily.com