Lelaki maut, teman wanita cedera selepas motosikal dinaiki rempuh pembahagi jalan

SERIAN – Seorang lelaki maut, manakala teman wanitanya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan di Batu 29, Jalan Kuching-Serian di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Vivien Clif Johnson, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badannya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, seorang lagi mangsa, Nilie Bedup dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut beliau, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Modenas dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Serian menuju ke bandar raya Kuching.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dibawa oleh Vivien Clif tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di situ.

“Impak rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak dan terseret beberapa meter bersama motosikalnya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, mangsa yang maut itu berasal dari Kampung Mantung Birawan di sini

Manakala ujarnya, wanita yang terselamat pula berasal dari Kampung Longgo Bedup.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat, begitu juga teman wanitanya turut menerima rawatan di hospital sama.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -dayakdaily.com