Lelaki maut selepas pulang ‘ngabang’

SERIAN – Perjalanan tiga rakan yang pulang dari ‘ngabang’ Gawai berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Mongkos, berhampiran Kampung Bidak, Serian di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Matteus Bulang, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.

Menurut sumber, sebelum kejadian, ketiga-tiga rakan tersebut yang menunggang motosikal masing-masing dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas ‘ngabang’ di rumah saudara mereka di kampung berhampiran.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa difahamkan hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta di laluan bertentangan.

“Impak rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah pada anggota badannya.

“Dua rakan mangsa turut cedera, namun pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sumber menambah, orang awam kemudian menghubungi pihak bomba untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada pukul 9.14 malam.

“Jarak ke lokasi kejadian adalah sejauh 18 kilometer (km) dan pasukan bomba tiba di kejadian kira-kira pukul 9.36 malam.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kemalangan itu melibatkan tiga buah motosikal dan dua buah kereta,” ujarnya lagi.

Sumber menambah, mangsa sudah tidak bernyawa lagi ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-dayakdaily.com