Lelaki Maut, Motosikal Bertembung Dengan Lori

Maut bertembung dengan lori – dayakdaily.com
Mangsa dikenali sebagai Henry Anak Suran

KUCHING: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Pasar Batu 7 di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, mangsa, Henry Suran, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Bing Kok John berkata, mangsa yang menunggang bersendirian motosikal Honda Wave dipercayai dari arah Kampung Bumbok menuju ke Pasar Batu 7 di sini.

Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati, lampu isyarat dari arah Stakan berwarna hijau untuk lori itu bergerak masuk ke Pasar Batu 7.

“Manakala, lampu isyarat bagi mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai berwarna merah tanda berhenti.

“Bagaimanapun mangsa dipercayai tiba-tiba keluar dari simpang tersebut lalu bertembung dengan lori itu,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Bing Kok memberitahu, impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa menemui ajal di tempat kejadian.

“Manakala, pemandu lori berusia 49 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sambil menambah, kes itu disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – dayakdaily.com