Lelaki maut dirempuh motosikal

SERIAN – Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila dia maut dirempuh sebuah motosikal di Jalan Reteh di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Anggun Mureng, 74, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Serian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Retoh Karas di sini dikatakan sedang berjalan kaki pulang ke rumahnya.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 13 tahun tiba-tiba merempuh mangsa dari arah belakang.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan pada anggota badannya.

“Remaja lelaki tersebut pula hanya mengalami kecederaan ringan dan polis sudah mendapatkan keterangan daripada remaja itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, orang awam yang kebetulan melalui laluan berkenaan kemudian membawa mangsa ke hospital untuk menerima rawatan kecemasan.

Katanya, selepas menerima rawatan kira-kira sejam di hospital, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

“Siasatan awal polis mendapati cuaca adalah baik dan gelap semasa kejadian.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -dayakdaily.com