Lelaki maut dalam keadaan ngeri, kepala pecah digilis tayar lori 10 tan

Sim Kui Choor maut serta-merta di tempat kejadian setelah motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan lori di Jalan Nyabau By-Pass Bintulu-Miri - JBPNS

BINTULU – Seorang lelaki menemui ajal dalam keadaan ngeri apabila kepalanya pecah digilis tayar sebuah lori muatan 10 tan selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kenderaan berat itu di Jalan Sibiew di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, seorang lelaki yang belum dikenalpasti identitinya disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kris sedang dalam perjalanan menuju ke atas pusat bandar Bintulu.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa seorang diri cuba memotong sebuah kenderaan di satu selokoh tajam, namun dia gagal lalu bertembung dengan sebuah lori jenis Nissan yang datang dari arah bertentangan.

“Impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa terporosok di bawah lori tersebut sebelum kepalanya digilis kenderaan terbabit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Bingkok memberitahu, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki mangsa didaftarkan atas nama Sim Kui Choon.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, seramai 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 4.21 petang.

Jelasnya, sebaik tiba di lokasi kemalangan,pasukan bomba mendapati mangsa masih dalam keadaan terperosok di bawah lori tersebut.

“Operasi mengeluarkan mayat mangsa tamat pada pukul 5.10 petang,” katanya lagi. – dayakdaily.com