Lelaki jatuh sungai ketika angkat barang untuk persediaan Hari Gawai

SIBU – Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dia terjatuh ke dalam sungai berhampiran Wharf Bot Express Sibu-Kapit di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.35 petang itu, mangsa, Pang Chi Song, 36, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di sungai tersebut.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dari Balai Polis Kapit pada pukul 1.38 petang.

Menurutnya, sejurus menerima laporan insiden berkenaan, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

“Berdasarkan kepada saksi, mangsa yang bekerja sebagai pengangkat barangan dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika sedang mengangkat barang ke dalam bot salah seorang penumpang di situ.

“Bagaimanapun, mangsa dikatakan tiba-tiba hilang imbangan badannya sebelum terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan oleh arus deras,” katanya.

Mengulas lanjut, Ling Hii memberitahu, panik melihat situasi itu, orang ramai cuba membantu, namun kelibat mangsa terus tidak kelihatan.

Katanya, orang awam kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya sebelum pasukan Lembaga Sungai Sarawak (LSS) tiba di situ untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

“Sebenarnya, perjalanan dari balai bomba ke lokasi dekat sahaja, tetapi anggota kami menghadapi kesukaran kerana kesesakan jalan raya akibat dari orang awam pakir kenderaan di tepi jalan untuk membeli belah bagi persiapan Hari Gawai tidak lama lagi.

“Namun, ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, terdapat beberapa buah bot sudah melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa,” ujarnya lagi.

Ling Hii menambah, gerakan mencari dan menyelamat mangsa bagaimanapun ditangguhkan akibat hujan lebat kira-kira pukul 4 petang.

“Operasi yang turut disertai pasukan polis, LSS berkenaan akan disambung semula hari ini,” katanya. – dayakdaily.com