Lelaki Indonesia ‘kantoi’ edar dadah di Bintulu

Lelaki berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu kira-kira pukul 3.30 petang. - PDRM

BINTULU : Seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan di sekitar kawasan sebuah kilang kayu di Jalan Bintulu-Tatau di sini semalam.

Lelaki berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu kira-kira pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zailanni Amit berkata, serbuan ke atas suspek dilakukan hasil risikan polis selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan yang dilakukan lelaki berkenaan di kawasan kilang tersebut.

Menurut beliau, ketika ditahan polis telah merampas tiga straw panjang lutsinar yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Polis juga merampas satu bekas gula getah yang di mana terdapat 11 tiub straw pendek lutsinar yang turut mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Kesemua barang rampasan itu dianggarkan bernilai RM3,000 dan polis telah membawa suspek ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zailanni memberitahu, siasatan awal mendapati suspek sudah lama menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan kilang terbabit.

Katanya, siasatan turut mendapati suspek sudah berada di sekitar bandar tersebut sejak 14 tahun lalu.

“Ketika ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui dari mana suspek mendapat bekalan dadah sebelum dijual kepada pelanggan di situ.

“Hasil saringan awal ujian air kencing terhadap suspek juga didapati dia positif dadah jenis syabu,” jelansya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Dia juga ditahan di bawah kesalahan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002). – dayakdaily.com