Lelaki hilang semasa meracun rumput, masih belum dijumpai

Operasi SAR mangsa hari ini.

Oleh Juetila Ozzy
BETONG, 30 Okt: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dilaporkan hilang selepas meracun rumput di sebuah ladang sawit di Kampung Hulu Manggut diperluaskan kawasan pencarian hari ini.
Mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Oktober itu bagaimanapun masih belum berjaya dijumpai sehingga operasi terpaksa ditangguh pada jam 5.30 petang disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata operasi SAR tersebut hari ini dibahagi kepada dua pasukan iaitu pasukan Unit Pengesan (K9) dan pasukan seterusnya melakukan pencarian sehingga ke sempasan ladang tersebut dengan hutan.
Katanya, operasi akan disambung semula esok.
Jelasnya, pakaian yang digunakan mangsa ialah baju T lengan panjang warna kuning (luar), baju T warna merah di bahagian dalam serta berseluar panjang warna hitam, berkasut berwarna kuning dan menggunakan terendak. — DayakDaily.