Lelaki ditemui mati, dipercayai dibunuh di hotel

Mangsa ditemui mati dengan kesan luka pada bahagian leher, dada dan lengan kirinya. - PDRM

BINTULU – Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan luka pada bahagian leher, dada dan lengan kirinya dipercayai dibunuh di sebuah hotel bajet di Jalan Keppel di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mayat mangsa masih belum dikenal pasti identitinya.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zailani Amit berkata, kejadian itu disedari oleh pekerja hotel bajet tersebut apabila ternampak seorang lelaki keluar dari hotel tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pekerja terbabit kemudian cuba menegur lelaki berkenaan, namun dia cepat keluar dari hotel bajet itu sebelum ternampak kesan darah pada bahagian lantai menuju ke arah bilik hotel yang disewa mangsa.

“Pekerja lelaki itu kemudian memberanikan diri dengan membuka pintu bilik berkenaan sebelum melihat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa lagi.

“Panik melihat keadaan tersebut, dia kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Zailani memberitahu, siasatan awal polis mendapati mangsa menginap di hotel berkenaan sejak Ahad lalu.

Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui sebilah kerambit dan pasport warga Indonesia di atas nama Sandi.

“Mangsa disyaki dibunuh dengan menggunakan sebilah kerambit dan polis mengesyaki Sandi merupakan suspek utama kes ini.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – dayakdaily.com