Lelaki disyaki merogol anak kandungnya diberkas

Bapa ditahan polis petang semalam selepas disyaki merogol anak kandungnya.

SARIKEI: Seorang bapa ditahan polis petang semalam selepas disyaki merogol anak kandungnya sejak Julai tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah SAC Datuk Dev Kumar berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan ketika melawat mangsa yang dirawat di Hospital Sarikei selepas mengadu sakit di bahagian perut.

“Suspek merupakan seorang buruh kasar ditangkap sekitar jam 4 petang bertempat di Wad Kecemasan Hospital Sarikei semasa suspek datang melawat mangsa.

“Suspek akan dibawa reman pagi esok(hari ini) jam 9 pagi di Mahkamah Sarikei di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen,” kata Dev.

Kegiatan terkutuk suspek terbongkar selepas mangsa yang baharu berusia 15 tahun menceritakan kepada warden asrama sekolahnya.

“Mangsa mengadu sakit perut kepada warden asrama sebelum dia nekad menceritakan bahawa bapa kandungnya (suspek)telah merogolnya di rumah mereka di Sungai Bulat, Sarikei sejak Julai tahun ini.

“Warden asrama kemudian membawa mangsa ke Hospital Sarikei untuk pemeriksaan” kata Dev.

Difahamkan pegawai perubatan di hospital tersebut kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian selepas itu yang membawa kepada penangkapan suspek.