Leka sabung ayam, tidak sedar diserbu polis

MIRI: Leka menyabung ayam di kawasan tanah lapang di Kampung Bukit Bom, Niah, di sini enam lelaki tidak sedar mereka telah diserbu pihak polis.

Dalam serbuan pada jam 4.30 petang, semalam,oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Balai Polis Pusat Miri itu, enam lelaki yang ditangkap berusia 30-an hingga 60-an, tiga daripadanya adalah warganegara Indonesia.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Lim Ming Saeh berkata,ketiga-tiga mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kita telah merampas enam ekor ayam sabung hidup, peralatan judi seperti dadu serta sejumlah wang tunai disyaki hasil pertaruhan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, semua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Katanya, tiga warga asing yang ditangkap itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63. -dayakdaily.com