Lapan ponteng puasa, didenda RM100 hingga RM1,000

Kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001, manakala seorang didakwa mengikut Seksyen 44 akta sama atas percubaan tidak berpuasa. - dayakdaily.com

KOTA SAMARAHAN – Gara-gara tidak berpuasa, lapan lelaki beragama Islam dijatuhkan hukuman denda antara RM100 hingga RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001, manakala seorang didakwa mengikut Seksyen 44 akta sama atas percubaan tidak berpuasa.

Kelapan-lapan tertuduh iaitu, Ismile Merican, 41; Haili Semsu, 58; Saruji Punya, 43; Zul Nongchek, 32; Raba’ie Jimi, 48; Hasbi Jimi, 51; Mortada Bujang, 53, dan Mohamad Pawi, 61, didapati melakukan kesalahan minum di tempat awam secara terbuka di kedai makan yang berasingan di sini.

Hakim Syarie, Idris Abdul Kadir kemudian memerintahkan empat tertuduh dikenakan denda sebanyak RM1,000, manakala selebihnya dijatuhkan denda RM800 hingga RM100.

Mahkahmah sama turut memerintahkan kesemua tertuduh akan dipenjara selama tujuh hari hingga dua bulan iika mereka gagal membuat pembayaran denda.

Pendakwaan ke atas kelapan-lapan tertuduh dilakukan oleh Pendakwa Syarie, Norlinawati Tuah dan Khalijah Abeng, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut kertas pertuduhan, semasa ditahan penguat kuasa dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), kesemua tertuduh memberikan pelbagai alasan untuk mengelak daripada ditahan.

Antara alasan tersebut adalah seperti tidak sempat bersahur, terlupa, kepenatan, sakit perut, gastrik dan masalah kesihatan. – dayakdaily.com