KWRC rangkul kejuaraan rugby setelah tiga tahun

KUCHING: Pasukan Kenyalang Warriors Rugby Club (KWRC) dari Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 DIV) akhirnya berjaya merangkul kejuaraan Liga Akhdan RNA 2017 buat kali pertama setelah tiga tahun mencuba dengan menundukkan juara bertahan Kelab Rugby Warriors ORC 23-15 pada perlawanan terakhir di Padang Ragbi Kem Muara Tuang, Sabtu lalu.

KWRC merupakan juara pertama Liga Akhdan RNA yang dahulunya dikenali sebagai Liga Ragbi KUCHING KRFC.

Kedua-dua pasukan menampilkan aksi sengit dengan masing-masing cuba menembusi benteng pertahanan lawan.

KWRC yang telah ditubuhkan pada 2016 hasil dorongan dan aspirasi Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw, dalam usaha menaikkan sukan ragbi di kalangan warga 1 Div berjaya mengutip mata pertama pada minit ke-12 dan terus mendahului pungutan mata sehingga berakhirnya babak pertama.

Aksi bertambah sengit sebaik babak kedua berselang dengan kedua-dua pasukan saling mencari kelemahan lawan untuk menambah pungutan mata.

Warriors yang tampil lebih bertenaga pada babak kedua dalam menambah kutipan mata walau bagaimanapun gagal menghalang KWRC untuk merangkul gelaran juara pertama sekaligus layak beraksi pada Piala Presiden.

Dengan kejayaan ini, KWRC berjaya menambah koleksi kemenangan selepas turut memenangi Johan Cup Kejohanan Ragbi Sentuh 5 Sebelah Y-Centre 2017 pada Mei 2017 dan Sibu Memorial Cup 15s’ pada April 2017 . – dayakdaily.com