KPM nafi arah buang fakta mengenai Dr. Mahathir dalam buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3

Buku mengenai sejarah Perdana Menteri yang tidak mengandungi nama Tun Dr Mahathir. - dayakdaily.com

KUCHING – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan telah mengubah fakta berhubung bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terdapat di dalam buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3 selain mengeluarkan larangan mempamerkan gambar tokoh itu di sekolah.

KPM dalam satu kenyataan akhbar hari ini menegaskan kementerian tersebut amat kesal terhadap tuduhan seumpamanya.

“Hasil semakan yang telah dilakukan, buku yang dimaksudkan itu sebenarnya bukan terbitan KPM.

“Sehubungan itu, KPM ingin mengaskan bahawa setiap penulisan buku teks kementerian adalah berdasarkan dokumen kurikulum dan fakta sebenar yang berlaku pada masa atau tempoh berkenaan,” kata KPM dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Sebelum ini, timbul banyak dakwaan menerusi laman media sosial yang mendakwa KPM telah mengubah sejarah Malaysia berkaitan gambar Mahathir dan tidak dimasukan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat dalam buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3.


Dalam pada itu, KPM turut menegaskan bahawa tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bertulis atau lisan kepada semua sekolah di bawah kementerian itu agar menanggalkan gambar Tun Dr Mahathir.

Susulan daripada dakwaan itu, KPM telah membuat laporan polis bagi mengambil tindakan terhadap penerbit buku terbabit dan pihak yang telah memulakan penyebaran maklumat palsu di dalam media sosial.

“KPM turut memohon agar semua netizen menghentikan penyebaran maklumat palsu itu dalam media sosial agar ia tidak menjadi polemik yang boleh mengganggu kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujar KPM lagi. – dayakdaily.com