KPDNKK laksana skim kawalan harga musim perayaan Gawai Dayak

Henry bersama pegawai KPDNKK memantau harga barang di pusat membeli belah menjelang perayaan Gawai Dayak. -dayakdaily.com

KUCHING: Mengelak peniaga mengambil kesempatan menipu pengguna menjelang perayaan Gawai Dayak tidak lama lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Gawai selama tujuh hari mulai hari ini hingga 2 Jun ini.

Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agong berkata, sebanyak 2,000 anggota penguatkuasa telah dikerahkan di seluruh negara bagi memantau 13 barangan terkawal bagi mengelak peniaga menaikkannya sesuka hati.

“Di Sarawak kita menempatkan 300 anggota penguatkuasa untuk melakukan pemantauan harga barang,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar
sempena lawatan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Gawai di Servay Hypermarket, EG Mall di sini.

Antara 13 barangan terkawal yang telah ditetapkan harga ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua, kepak ayam, telur, kubis bulat, bawang putih, babi hidup, daging babi, daging lemak dan sebagainya.

Katanya,harga barang terkawal diletakkan pada kertas berwarna merah jambu untuk memudahkan para pengguna.

“Sebanyak lapan kesalahan direkodkan dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Gawai tahun lalu di Sarawak iaitu kegagalan mempamer tanda harga berwarna merah jambu,” katanya.

Katanya, kegagalan meletak tanda harga merah jambu boleh didenda sebanyak RM10,000 dan kompaun RM5,000 bagi individu manakala denda RM20,000 dan kompaun RM10,000 untuk syarikat di bawah Akta Anti Pencatutan 2011.

“Kita berharap tahun ini tiada individu atau syarikat yang dikenakan denda dibawah skim terbabit di Sarawak kerana menjejaskan banyak pihak.

“Selain memantau harga barang, kita juga akan memastikan barangan keperluan mencukupi di bawah skim ini,” katanya. – dayakdaily.com