Kilang makanan laut di Sungai Baong, Miri, terbakar

Pihak Bomba membantu memadam kebakaran kilang pengeluar makanan laut,Sea Product, di sungai Baong, Miri - dayakdaily.com

MIRI: Sebuah kilang pengeluar makanan laut,Sea Product, di sungai Baong, di sini, musnah dalam satu kebakaran pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata,pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 6.32 pagi.

“Seorang mangsa yang juga pekerja warga Indonesia telah melecur di bahagian muka dan tangan akibat disambar api.

“Mangsa telah diberi rawatan awal oleh pihak paramedik sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri di bantu BBP Lopeng menggunakan FRT Scania bersama tujuh anggota diketuai PBK II Narain Singh bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.


“Setibanya di tempat kejadian api sedang marak dan asap tebal menyelubungi di bahagian kilang pengeluaran makanan laut.

“Asrama pekerja yang bersambung dengan kilang sejuk beku telah terbakar 100 peratus manakala bahagian bangunan kedai pula telah terbakar 25 peratus,” katanya.

Katanya, kebakaran telah berjaya di kawal sepenuhnya 8.09 pagi dan pihak Bomba telah membuat kerja-kerja overhaul di kawasan kebakaran. – dayakdaily.com