Ketua Kaum Kampung Sigandar maut dilanggar kereta

Mangsa, Jepus June, 53, merupakan Ketua Kaum Kampung Sigandar disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya. - PDRM

PADAWAN – Malang menimpa seorang lelaki apabila dia ditemui maut selepas dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan di Batu 17, Jalan Puncak Borneo di sini hari ini.

Mangsa, Jepus June, 53, merupakan Ketua Kaum Kampung Sigandar disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke pusat bandar di sini.

Bagaimanapun kata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan dirempuh sebuah kereta sebelum pemandu kenderaan tersebut melarikan diri.

Katanya, impak rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan pada muka, badan dan tangannya.

“Buat masa ini, polis masih mengesan pemandu dan kereta yang melanggar mangsa hingga mengakibatkan kematian.

“Siasatan awal di lokasi kejadian menemui serpihan nombor pendaftaran serta bumper kereta yang disyaki melanggar motosikal mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut telah menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya bagi urusan pengkebumian.

“Setakat ini kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – dayakdaily.com