Keseronokan kumpulan penuntut UiTM beriadah berakhir tragedi, seorang rakan mereka mati lemas

LUNDU – Keseronokan sekumpulan penuntut
Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkelah sambil beriadah sempena cuti hujung minggu berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas ketika sedang mandi Air Terjun Jangkar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa, Alan Abang Udin, 21, dikatakan hilang selepas dihanyutkan arus air yang deras sebelum mayatnya ditemui pada pukul 2.59 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 12.47 tengah hari.

Menurut beliau, sejurus menerima laporan insiden itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu digerakkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung di tebing sungai sebelum dibawa ke darat untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba kemudian membawa mayat mangsa ke Pusat Kawalan Bomba dan tiba di situ kira-kira pukul 4.15 petang.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tiong menasihati agar para pengunjung yang datang ke Air Terjun Jangkar terutamanya pengunjung luar haruslah menjaga keselamatan dan berhati-hati ketika mandi di situ.

“Patuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.Jika papan tanda sudah mengatakan ini kawasan bahaya, sepatutnya mereka perlu berhati-hati di kawasan itu dan tidak perlu ambil risiko untuk mandi di kawasan itu,” ujarnya lagi. -dayakdaily.com