Kes kelima rabies dicatatkan di Sarawak

File pictures of stray dogs. Strays are being rounded up within the containment area in Serian. -dayakdaily.com

KUCHING – Wabak rabies atau penyakit anjing gila di negeri ini kembali ‘mengganas’ lagi dengan seorang lelaki dewasa pula disahkan dijangkiti virus rabies hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit kelima yang sah dijangkiti virus rabies itu melibatkan seorang lelaki dewasa berusia 52 tahun, berasal dari Kampung Remun, Serian.

Menurutnya, berdasarkan laporan sebelum ini,pesakit itu mempunyai sejarah digigit anjing pada awal Mei lalu.

“Bagaimanapun, pada 11 Julai lalu, lelaki berkenaan telah mengalami lemah anggota kaki, kebas, sakit belakang serta kebingungan, dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini untuk menerima rawatan lanjut.

“Setakat ini, hingga terdapat lima kes rabies dicatatkan di sekitar daerah Serian, dengan empat pesakit telah meninggal dunia dan satu kes sedang dirawat di HUS,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan empat kanak-kanak malang yang sah dijangkiti virus rabies sudah meninggal dunia.

Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pula mengisytiharkan tiga lagi penempatan baharu sebagai kawasan wabak rabies atau jangkitan penyakit anjing gila di Sarawak.

Tiga penempatan tersebut ialah Pekan Siburan, Serian, Kampung Temong Mura, Tebedu dan Rumah Janta Punggu Mawang, Sri Aman.

Sebelum ini enam kampung telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies iaitu Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor dan Kampung Saroban.

Pengisytiharan wabak rabies itu digazetkan di bawah Seksyen 37 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999. -dayakdaily.com