Kereta rempuh pokok, seorang wanita maut

Mangsa, Shirlime Raga, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialaminya. -PDRM

MIRI – Seorang wanita menemui ajal selepas kereta yang dipandunya merempuh sebatang pokok di Jalan Miri-Pujut di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu mengakibatkan, mangsa, Shirlime Raga, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialaminya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian mangsa yang memandu kereta Perodua Viva dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Pujut menuju ke bandar Miri.

Bagaimanapun katanya, wanita yang memandu seorang diri itu difahamkan tiba-tiba gagal mengawal keretanya sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan tersebut.

“Akibat rempuhan kuat itu, bahagian depan kereta mangsa remuk, namun dia dilaporkan tidak tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu.

Katanya, kawasan kemalangan dilaporkan gelap dan cuaca adalah baik semasa kejadian berlaku.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.36 pagi.

Jelasnya, sejurus menerima laporan kejadian, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih telah merempuh sebatang pokok di bahu jalan itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri namun tidak tersepit,” katanya. – dayakdaily.com