Kerajaan negeri isytihar lima kampung di Serian sebagai kawasan wabak rabies

The two siblings who are rabies victims succumb to their failing condition. - Dr Sim Kui Hian Facebook page

KUCHING – Kerajaan negeri mengisytiharkan lima buah kampung di Serian sebagai kawasan jangkitan wabak penyakit anjing gila atau rabies.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengisytiharan wabak penyakit anjing gila itu digazetkan di bawah Seksyen 37 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Menurut beliau, lima kampung yang digazetkan sebagai kawasan wabak penyakit anjing gila itu adalah Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kmapung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun dan Kampung Lebor.

“Arahan semua anjing di kawasan yang dijangkiti dalam pengawasan 10 kilometer mesti disuntik dengan vaksin anti-rabies turut dikeluarkan hari ini.

“Selain itu, kita telah menghantar pasukan tindakan khas vaksinasi untuk melakukan kerja-kerja menyuntik vaksin pencegahan di kawasan zon pengawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Douglas meminta semua pemilik anjing peliharaan di kelima-lima kampung memberi agar kerjasama kepada pasukan dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Jabatan Veterinar serta agensi berkaitan.

“Bagi memastikan kerja-kerja menyuntik vaksin ini berjalan lancar saya juga berharap penduduk di kawasan berkenaan tidak merasa bimbang dengan penularan wabak itu,” katanya.

Pada 30 Jun lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dijangkiti virus rabies di Kampung Paon Sungai Rimu Bakung dan Kampung Lebur, Gedong, dalam daerah Serian, dan sedang dirawat di unit rawatan rapi, Hospital Umum Sarawak.

Dua beradik terbabit, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan kakaknya enam tahun, manakala mangsa ketiga kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun. – dayakdaily.com.