Kerajaan keluar peruntukan cecah RM3 juta beli vaksin anti-rabies serta peralatan berkaitan

Abang Johari melihat petugas melakukan operasi pemvaksian ke atas haiwan peliharaan di Padawan.-dayakdaily.com

PADAWAN – Kerajaan sudah mengeluarkan peruntukan mencecah RM3 juta dalam usaha membendung penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, daripada jumlah peruntukan itu, kira-kira RM2.4 juta telah disalurkan oleh kerajaan Persekutuan, manakala selebihnya disediakan kerajaan negeri ini.

Menurutnya, perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan itu adalah untuk membeli vaksin anti-rabies serta pelbagai peralatan berkaitan untuk menjalankan kerja-kerja pemvaksian di sekitar kawasan wabak rabies.

“Ketika ini, operasi khas pemvaksian terhadap haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing giat dilakukan di kawasan wabak rabies serta dalam radius 10 kilometer (km) di sekitar kawasan-kawasan terjejasa dengan jangkitan rabies.

“Malah, berdasarkan laporan terkini, terdapat 18 buah perkampungan yang sudah diwartakan sebagai kawasan rabies iaitu 16 kampung di daerah Serian dan masing-masing satu kampung di Tebedu dan rumah panjang di Sri Aman,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat pemvaksian rabies di Dewan Masyarakat Batu 10 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Sim Kui Hian.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari memberitahu, satu pertemuan antara kerajaan negeri dan Konsulat Jenderal Indonesia diketuai oleh Douglas Uggah akan berlangsung esok.

Jelas beliau, perbincangan itu diadakan bagi mencari satu jalan pencegahan wabak rabies memandangkan negara jiran turut dibelenggu penularan wabak sama ketika ini.

“Kita berharap, satu zon penampan dapat diwujudkan antara sempadan Sarawak-Kalimantan sekiranya wabak rabies semakin serius,” katanya.

Dayakdaily.com sebelum ini melaporkan empat kanak-kanak malang yang sah dijangkiti virus rabies sudah meninggal dunia.

Semalam, seorang lelaki berusia 52 tahun, berasal dari Kampung Remun, Serian pula disahkan menjadi pesakit kelima yang dijangkiti virus rabies di Sarawak. – dayakdaily.com