Kepala lelaki pecah, jatuh dari bangunan di Bandar Baru Batu Kawa

KUCHING – Seorang lelaki ditemui maut dalam keadaan ngeri berikutan kepalanya pecah dan otak bertaburan dipercayai selepas terjatuh dari Bangunan Upper Courtyart Sanctuary di Bandar Baru, Batu Kawa di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Chai Tak Foh, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Seorang penghuni kondominium itu yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat sebelum tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dari aras bawah.

Katanya, pada mulanya, dia menyangka bunyi itu datang daripada orang membuang sampah atau orang sedang bermain.

“Tetapi, apabila saya melihat ke bawah, saya amat terkejut melihat mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan terlentang.

“Saya kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya kerana mangsa seakan-akan sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.35 petang.

Katanya, sejurus menerima laporan itu, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang bergegas ke lokasi kejadian

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa sudah tidak bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut tiba di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya lagi.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Jelasnya, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – dayakdaily.com