Kenderaan bertembung di Batu Danau, Dua maut

Mangsa, Duncan Taboh mengalami kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan disahkan meninggal oleh pihak kesihatan Limbang - JBPNS

LIMBANG: Dua maut dalam kemalangan membabitkan kereta jenis Suzuki Swift dan KIA Sportage bertembung di Kampung Bidang,Batu Danau, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.30 petang itu mereka yang maut ialah pemandu Suzuki Swift Duncan Taboh dan penumpang dan KIA Sportage, Farah Fauzana Abdul Rahim.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata,pertembungan itu telah mengakibat pemandu kereta jenis Suzuki Swift tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Dia mengalami kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan disahkan meninggal oleh pihak kesihatan Limbang,” katanya di sini hari ini.

“Pemandu KIA Sportage, Shahmirza Muhamad warganegara Brunei Darussalam bersama lima penumpang lain turut cedera dalam kemalangan itu,” katanya.

Katanya, ke semua mangsa telah dihantar untuk mendapat rawatan di hospital Limbang oleh orang awam dan pihak ambulans.

Tiong berkata,Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang menggunakan sebuah FRT dan EMRS bersama tujuh anggota begegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 6.36 petang.

“Kita tiba di lokasi kejadian pada jam 7.09 malam, sebaik selesai menjalankan kerja-kerja membersihkan sisa-sisa bekas kemalangan anggota balik ke balai,” katanya. – dayakdaily.com