Kemalangan tiga kenderaan di Landeh, Lelaki cedera

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.50 itu, mangsa Voon Nam Jong,60, mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri dan kepala. - JBPNS

KUCHING: Seorang lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Kampung Landeh,Siburan, di sini malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.50 itu, mangsa Voon Nam Jong,60, mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri dan kepala.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, kemalangan terbabit melibatkan tiga buah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback yang hilang kawalan
lalu melanggar kereta jenis Wira dan kereta jenis Axia.

“Kemalangan ini telah mengakibatkan seorang mangsa pemandu kereta jenis Iswara Aeroback lelaki telah tersepit di bahagian tempat duduk pemandu yang mengalami cedera di kaki kiri dan bahagian kepala.

“Terdapat dua orang lagi mangsa perempuan yang seorang memandu kereta jenis Axia dan seorang perempuan penumpang di kereta jenis Wira Aeroback tiada mengalami kecederaan manakala seorang mangsa lelaki yang memandu kereta jenis Wira Aeroback mengalami cedera ringan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pihak Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bertindak membantu mengeluarkan mangsa daripada kereta proton Iswara Aeroback dengan bantuan orang awam.

“Mangsa berjaya dikeluarkan di tempat duduk pemandu, pihak bomba memberi rawatan awal dan seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, sebelum berangkat balik ke balai, BBP Siburan bertindak membuat pembersihan dengan membuang sisa-sisa bekas kemalangan tersebut.

“Kita menerima panggilan berhubung kejadian ini pada jam 11.58 malam,” katanya. – dayakdaily.com