Kelibat buaya ancam keselamatan Penduduk Kampung Lajong

MIRI – Penduduk di sekitar Kampung Lajong Kuala Niah di sini diselubungi kebimbangan berikutan kehadiran seekor buaya yang sering muncul di permukaan Sungai Niah sejak akhir-akhir ini.

Kelibat reptilia ganas yang sering muncul sejak beberapa minggu lalu telah menyebabkan para penduduk kampung risau dan takut untuk menghampiri sungai kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

Seorang penduduk kampung, Masrie Junaidi, 38, berkata, mereka kini dihantui kebimbangan kerana sang bedal itu sudah menjadikan sungai tersebut sebagai habitatnya.

Katanya, meskipun buaya berkenaan tidak bertindak agresif setakat ini, namun penduduk kampung risau haiwan itu akan menyerang seorang penduduk kampung di situ kelak.

“Kemunculan reptilia tersebut amat menakutkan kerana penduduk kampung di situ masih bergantung sepenuhnya kepada air sungai sebagai bekalan air harian,” katanya baru-baru ini.

Masrie menambah, kampung tersebut tidak dilengkapi dengan kemudahan bekalan air bersih sejak dulu lagi hingga menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada air sungai serta air hujan untuk keperluan harian termasuk minum serta memasak.

Jelasnya, mereka pernah mengajukan masalah tersebut kepada wakil rakyat kawasan itu sebelum ini, namun permohonan untuk mendapatkan bekalan air bersih belum berhasil lagi.

“Walaupun sang bedal itu tidak menggangu atau mengancam keselamatan penduduk setakat ini, kami tetap bimbang dan takut sekiranya reptilia itu tiba-tiba bertindak ganas.

“Kemunculan haiwan tersebut boleh membahayakan keselamatan penduduk kampung khususnya golongan kanak-kanak yang sering mandi di tebing sungai itu.

“Justeru, kami amat berharap masalah bekalan air bersih dapat diatasi segera oleh pihak berkaitan,” katanya.

Sambil menambah, dia berharap pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengambil tindakan lanjut dengan turun padang memburu buaya tersebut.

“Jangan tunggu ada kes serangan buaya barulah mereka hendak turun ke sini. Jadi saya amat berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil perhatian tentang perkara ini,” ujarnya lagi.-dayakdaily.com