Kelab menyumpit Sibu berazam memulihara tradisi menyumpit melalui sukan

KMS berazam untuk memulihara tradisi menyumpit melalui sukan. - dayakdaily.com

SIBU, 28 Jun: Peminat-peminat permainan sukan menyumpit di Bahagian Sibu sudah boleh menarik nafas lega kerana sudah mempunyai sebuah kelab yang berdaftar untuk mereka menjalankan aktiviti.

Diberi nama Kelab Menyumpit Sibu (KMS), pendaftaran kelab itu telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 20 Jun lalu.

“Dengan kelulusan secara rasmi itu kami sudah boleh merangka pelbagai aktiviti untuk peminat-peminat sukan menyumpit di Sibu,” kata pengerusinya Mingat Bakil.

Selain menganjurkan pertandingan menyumpit pada 24 Julai nanti, agenda utama KMS ialah untuk memartabatkan menyumpit sebagai satu sukan tradisi masyarakat umum secara amnya.

Di dalam usaha itu katanya, KMS juga mahu berkongsi dengan orang-ramai yang berminat seni pembuatan sumpit, damak dan juga ‘temilah’ atau bekas untuk menyimpan damak yang diperbuat daripada buluh.

“Kami menyasarkan supaya aktiviti ini dapat diperkembangkan ke peringkat sekolah sebelum seni ini pupus ditelan zaman,” kata Mingat.

Menurut beliau, pada masa ini agak sukar untuk melihat keluarga di rumah-rumah panjang yang memiliki sumpit dan kalau ada sekalipun ianya diwarisi dari nenek moyang mereka dan sudah usang.

Sehingga kini, KMS mempunyai 25 anggota berdaftar yang terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai minat yang amat mendalam di dalam sukan menyumpit.

Katanya, KMS sedang giat untuk mendaftar ahli untuk kelab itu.

Mereka yang berminat untuk menjadi ahli boleh menghubungi Mingat Bakil di talian 019-8867978; timbalan beliau Nicholas Engong Jugah (016-9211341); dan setiausaha Ellyne Tong Siew Hua (011-51705134).

Selain mereka, ahli jawatankuasa induk terdiri daripada Cathrine Sulaiman dan Edwin Pantan Muka masing-masing sebagai penolong setiausaha dan bendahari manakala ahli jawatankuasa yang lain ialah Umpie Awie, Jefferson Boenerges Entika, Dennis Tan Tai Wei, Venissa Ugun dan Entali Tutong. – dayakdaily.com